Atlet angkat berat negara, Azroy Hazal Wafi Ahmad Izhar, lega apabila melepasi ujian doping sebelum berlepas ke California, Amerika Syarikat menjelang Kejohanan Dunia yang akan bermula Selasa ini.

Wafi merupakan antara dua atlet yang lulus ujian yang dijalankan oleh Agensi Anti Doping Malaysia (Adamas).

Berita itu diterima selepas jaguh utama negara, Mohd Hafifi Mansor, dikesan positif bahan terlarang jenis oxymetholone dan sedang menunggu keputusan ujian sampel B.

Bagi Wafi, perkhabaran itu jelas menggembirakannya kerana dia akan tampil selaku wakil tunggal negara di California.

"Saya bebas dalam keputusan ujian doping bersama Siti Aisyah. Saya berharap rakan-rakan lain turut melepasi ujian tersebut," katanya.

Seorang lagi atlet negara yang lulus ujian doping adalah Siti Aisyah Md Rosli.

Menjelang saingan di California, Wafi menyasarkan untuk memecahkan rekod kebangsaan dengan angkatan 265 kilogram milik Amirul Hamizan Ibrahim yang dilakukan pada tahun 2009.

"Saya menghadapi aksi yang terlalu banyak dan jika masih mempunyai tenaga, saya akan cuba pecahkan rekod yang dipegang oleh Amirul," ujarnya.

Catatan peribadi terbaik Wafi adalah 258kg yang dilakukan ketika meraih tangga keempat Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Ogos lalu.