Azreen: Kem pecut kebangsaan ketandusan pelari wanita 

Oleh Shaiful Shamsudin 9 September 2020 93
 Azreen: Kem pecut kebangsaan ketandusan pelari wanita 
Azreen Nabila  Alias kini muncul pelari pecut tunggal kategori wanita berbanding 11 jaguh lelaki dalam sesi latihan skuad kebangsaan ketika ini.

Pelari dari Terengganu itu memikul harapan tinggi memandangkan Zaidatul Husniah Zulkifli masih menjalani rawatan kecederaan lutut -- anterior cruciate ligament (ACL).

Pelari berusia 20 tahun itu tetap mengikuti program latihan skuad lelaki yang diketuai juara Sukan SEA 2019, Mohd Haiqal Hanafi, walaupun sering ketinggalan.

Namun, keadaan akan menjadi lebih baik jika Majlis Sukan Negara (MSN) dapat menambah jumlah pelari wanita negara.

"Saya menghadapi kesukaran sebab saya keseorangan. 

"Jurulatih,  M Balamurugan, masih mencari rakan sepelatih buat saya. Jadi saya berharap ia dapat dilakukan secepat mungkin.

"Sebelum ini saya boleh bersaing dengan Zaidatul, jadi selepas ini saya harap dapat meningkatkan persaingan dalam latihan kerana berlatih dalam kalangan atlet lelaki agak sukar," katanya. 

Hasrat itu mendapat perhatian Pengarah Teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Dwayne Miller, yang mengakui: "Ia memang agak sukar buatnya sebagai pelari pecut tunggal wanita dalam kem kebangsaan ketika ini. 

"Lebih ramai penyertaan lebih bagus supaya kami mula boleh memikirkan soal lain seperti acara berganti-ganti."

Azreen mencipta sensasi dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2018 apabila memadam rekod 100 meter milik Siti Fatimah Muhammad yang bertahan selama 10 tahun.
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen