Atlet angkat berat negara, Aznil Bidin, mahu menempah slot ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 lebih awal dengan memastikan misi meraih podium dalam Kejohanan Angkat Berat Antarabangsa di Chiang Mai, Thailand pada Februari depan terlaksana.

Aznil perlu meraih sekurang-kurangnya pingat gangsa dalam kejohanan yang menjadi kelayakan Sukan Olimpik Tokyo itu untuk meraih slot secara merit.

Dia yang perlu mengubah kategori kepada 62 kilogram yang merupakan acara Olimpik, tidak menolak agak bergelut untuk menyesuaikan diri dengan perubahan itu.

Namun, kesukaran itu berjaya diatasi dan kini hanya ingin memanfaatkan peluang yang diberi Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) yang memberi kelonggaran kepada mereka untuk ke sana walaupun masih dalam tempoh pergantungan menyertai kejohanan sehingga Mei.

"Kami sedang membuat persiapan bersama jurulatih bagi mencapai sasaran yang telah ditetapkan. Saya berharap persiapan dan perancangan yang telah ditetapkan dapat membantu saya meraih keputusan positif dalam kejohanan pada Februari depan," kata Aznil.

Pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2018 itu hanya mengharapkan dia dan Azroy Hazal Wafie Izhar diberi peluang menjalani latihan intensif di China selepas berakhir kejohanan di Chiang Mai untuk mempersiapkan diri ke Kejohanan Asia pada April depan.

"Di China, kami memiliki lebih ramai rakan sepelatih yang dapat membantu meningkatkan lagi prestasi."