Azman Yahaya ambil alih jawatan Pengerusi SIC

Oleh Ammar Hakim 16 Oktober 2016 6
Azman Yahaya ambil alih jawatan Pengerusi SIC

Meskipun berlaku perubahan mengejut jawatan Pengerusi Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Razlan Razali, meyakinkan semua bahawa ia sama sekali tidak akan merencatkan penganjuran saingan MotoGP hujung bulan ini.

Tan Sri Mokhzani Mahathir meletakkan jawatan Pengerusi SIC berkuat kuasa 13 Oktober lalu selepas berkhidmat lebih 13 tahun.

Tan Sri Mohamed Azman Yahaya telah dipilih bagi mengisi kekosongan yang dilantik oleh Kementerian Kewangan pada 14 Oktober.

Bagi Razlan, dia menyambut baik pelantikan Azman selaku pengerusi baru SIC kerana beliau bukanlah asing memandangkan beliau juga adalah ahli lembaga pengarah sejak 2010.

“Tan Sri Azman bukan seorang yang asing dalam dunia sukan permotoran, kami gembira dengan pelantikan beliau, yang memiliki pengetahuan meluas mengenai sukan ini. Saya amat gembira kerana dapat bekerjasama dengan beliau,” kata Razlan.

Dalam perkembangan lain, Razlan juga memaklumkan tiket jualan untuk saingan MotoGP semakin laris dan menyasarkan sekurang-kurangnya 90,000 penonton menjelang aksi tiga hari itu.

“Penjualan tiket buat saingan MotoGP Malaysia amat membanggakan. Tiket grandstand telah habis dijual, saya percaya semua tiket dapat dijual sebelum bermula saingan di Sepang nanti.”

 

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen