Juara kategori perdana Kejuaraan Motorsikal Asia (ARRC), Azlan Shah Kamaruzaman, mahu pihak penganjur, Two Wheel Motor Racing, tidak sewenang-wenangnya menamakan sebarang pemenang musim ini jika saingan 2020 terpaksa dibatalkan.

Sehingga kini, masih belum ada pengumuman rasmi daripada pihak penganjur ARRC itu sama ada perlumbaan bakal bersambung atau sebaliknya.

Musim 2020 menyaksikan satu perlumbaan sahaja dapat dijalankan di Litar Antarabangsa Sepang pada 6 Mac lalu sebelum tergendala ekoran Covid-19.

Saingan ARRC sepatutnya berbaki enam lagi pusingan, namun dua venue membabitkan Litar Suzuka, Jepun dan Litar Antarabangsa Zhuhai, China ditunda ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak.

"Bagi saya, untuk tahun ini, mereka tidak boleh umumkan pemenang. Sekurang-kurangnya, perlu ada tiga perlumbaan. Kalau hanya satu perlumbaan, penganjur tidak boleh umumkan pemenang," ujar Azlan.

"Di tahap Asia, kami perlu banyak beraksi di luar. Jadi, saya lihat satu kesukaran untuk pelumba tetapi saya masih mengharapkan masih ada perlumbaan di dalam negara."