Jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang, tetap yakin untuk mempertahankan gelaran juara keirin dunia, Februari depan, walaupun bergelut dalam dua siri Piala Dunia.

Terbaru, The Pocket Rocketman sekadar meraih tempat ke-10 keirin dalam Piala Dunia kedua di Manchester, England, semalam.

Ia kegagalannya yang kedua berturut-turut selepas dia terkandas dalam pusingan awal Piala Dunia pertama di Poland, minggu lalu.

"Secara keseluruhan, persembahan dalam siri Piala Dunia di Manchester ini agak memberangsangkan. Kami berada dalam landasan yang tepat dan perlu memperbaiki kelemahan dalam tempoh tiga bulan sebelum menghadapi Kejohanan Dunia di Belanda nanti," katanya.

Azizulhasni dijangka tidak menyertai baki tiga lagi siri Piala Dunia di Kanada, Chile dan Belarus kerana sudah mengumpul mata yang cukup untuk mencabar Kejohanan Dunia di Belanda, Februari depan.

Sementara itu, ketua jurulatih negara, John Beasley, akan mengemukakan rayuan kepada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) selepas ratu trek negara, Fatehah Mustapa, dibatalkan penyertaan dalam final acara keirin di Manchester.

Komisar perlumbaan mendakwa Fatehah menjadi punca kemalangan dalam perlumbaannya, sekali gus gagal mengutip sebarang mata.

Ini bermakna Fatehah belum menghimpun cukup mata untuk mencabar dalam Kejohanan Dunia nanti.