Azizulhasni tidak akan keseorangan ke Tokyo

Oleh Bernama 23 Oktober 2019 2307
Azizulhasni tidak akan keseorangan ke Tokyo
Pencapaian pingat emas acara pecut dalam Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2020 di Korea Selatan, Isnin lalu, memberi sinar buat skuad negara yang berkemungkinan mendapat dua slot dalam acara keirin dan pecut di pentas Sukan Olimpik Tokyo tahun depan.

Sudah pastinya ia adalah khabar gembira buat jaguh trek negara, Azizulhasni Awang, kerana dia tidak akan bersendirian selain impian menjadi kenyataan buat Muhammad Shah Firdaus Sahrom untuk beraksi dalam temasya terbesar dunia itu.

"Kalau dua orang ke Sukan Olimpik, itu akan jadi pendedahan kepada Shah Firdaus. Satu lagi, sekurang-kurangnya saya ada kawan untuk menjalani latihan dan juga ketika beraksi di pentas Olimpik nanti," ujar Azizulhasni.

Menurut pelumba berusia 31 tahun itu yang terkenal dengan jolokan The Pocket Rocketman itu, jika dia mendapat slot dalam acara keirin, secara automatiknya akan mendapat satu slot 'percuma' untuk beraksi dalam acara pecut dan begitu juga sebaliknya.

"Yang penting mata yang ditawarkan untuk acara pecut banyak dan dengan meraih pingat emas, nampaklah sinar untuk kemungkinan saya layak untuk dua acara di Tokyo,” kata pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu hari ini.

Mengikut ranking terkini Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) dalam acara keirin, Azizulhasni turun satu anak tangga di tangga ketiga dengan 2,625 mata, manakala Yudai Nitta dari Jepun kekal mengungguli dengan 2,850 mata.

Bagi acara pecut pula, kedudukan Azizulhasni naik tiga anak tangga di kedudukan ke-16 dengan 1,547 mata manakala Muhammad Shah Firdaus pula di kedudukan ke-24 dengan 1,357 mata.

Dalam ACC 2020, Azizulhasni merangkul perak dalam acara keirin dan emas dalam acara pecut.

Berdasarkan peraturan kelayakan Olimpik Tokyo yang dikeluarkan UCI bagi acara pecut berpasukan, lapan pasukan terbaik dalam ranking Olimpik tanpa mengira benua akan layak secara automatik selain mendapat dua tiket tambahan untuk keirin dan pecut individu.

Selain kelayakan menerusi kelayakan berpasukan, tujuh pelumba terbaik bagi keirin dan pecut individu (ditolak lapan negara yang layak menerusi pecut berpasukan) turut layak ke Tokyo menerusi tiket individu.

Skuad berbasikal trek negara melakar sejarah tersendiri dalam Sukan Olimpik Rio 2016 apabila menyumbang pingat buat kali pertama dalam sejarah sukan negara menerusi Azizulhasni yang meraih gangsa.

-- BERNAMA
 

Tentang Penulis

Bernama

Komen