Kejayaan meraih kedudukan kedua dalam ranking dunia Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) bagi saingan keirin melonjakkan lagi motivasi pelumba berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang, untuk mengekalkan prestasi pada 2019.

Azizulhasni berada di landasan tepat untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas berada di kedudukan kedua ranking dunia dengan mengumpul 2,445 mata.

Ia berikutan kejayaannya meraih tempat ketiga serta kedua dalam siri Piala Dunia, masing-masing di Berlin serta London tempoh hari.

Tumpuan "The Pocket Rocketman" selepas ini sudah pasti kepada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Indonesia pada pertengahan Januari ini di samping Kejohanan Dunia di Poland sebulan kemudian bagi mengukuhkan lagi kedudukan.

"Objektif utama saya adalah mahu memastikan layak ke Sukan Olimpik," katanya.

Sementara itu, Azizulhasni menganggap pencapaian musim 2018 antara yang terbaik buat dirinya meskipun tidak dapat mempertahankan gelaran dunia.

Hasratnya untuk mengekalkan status raja keirin tidak kesampaian selepas mengalami masalah kesihatan yang turut menjejaskan prestasinya dalam Sukan Komanwel Gold Coast, April lalu.

Begitupun, dia mempamerkan kebangkitan dengan meraih satu emas, satu perak dan satu gangsa dalam Sukan Asia Indonesia yang menyaksikan dia meraih RM113,330 menerusi Skim Hadiah Kemenangan (SHAKAM) 2018.

"Tahun 2018 agak menarik buat saya, terdapat pasang surut dalam prestasi saya dalam kejohanan antarabangsa," katanya.