Azizulhasni tarik diri daripada siri Piala Dunia

Oleh Staff Writer 2 November 2016 2
Azizulhasni tarik diri daripada siri Piala Dunia
Pelumba trek negara, Azizulhasni Awang, mengambil keputusan menarik diri daripada menyertai siri Kejohanan Piala Dunia di Glasgow, Scotland ekoran masalah kesihatan.

Azizul sepatutnya bersama-sama seorang lagi pelumba, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, ke Glasgow untuk beraksi dalam kejohanan berkenaan yang bermula pada 4 November ini.

Bagaimanapun, pelumba yang digelar `The Pocket Rocketman' itu terpaksa melupakan hasrat berkenaan kerana mengalami jangkitan virus sejak minggu lalu, sekali gus menjejaskan persiapannya untuk beraksi.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Rio itu yang baru sahaja memulakan latihan sejak Selasa minggu lalu,enggan mengambil risiko beraksi di sana tanpa persediaan rapi.

“Walaupun masih belum sihat sepenuhnya, saya menjalani latihan untuk mengembalikan tahap kecergasan saya tetapi keadaan saya semakin teruk.

"Saya mengambil keputusan untuk menarik diri daripada siri Piala Dunia di Glasgow,” kata Azizul.

Azizul bakal pulang ke Melbourne, Australia dalam masa terdekat bagi menjalani sesi latihan bersama jurulatihnya, John Beasley, selain bersedia untuk Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di India, tahun depan.

“Fokus utama adalah untuk ACC di India pada Februari 2017. Selepas itu, mungkin kami akan menyertai dua siri Piala Dunia.”
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen