Jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang, meraih pingat emas keduanya dalam Kejohanan Berbasikal Trek Grand Prix (GP) Asia Tenggara 2018 menerusi acara keirin, pagi tadi.

Kejayaan itu lebih manis dengan dia menundukkan lawan yang menghancurkan hasratnya dalam Sukan Asia, Ogos lalu.

Selepas meraih emas dalam acara pecut semalam, Azizulhasni sekali lagi menjadi sandaran dalam saingan keirin selain tumpuan kepada pemenang pingat emas Sukan Asia, Jai Angsuthasawit dari Thailand.

Selain pelumba itu, Malaysia turut diwakili dua lagi pelumba, iaitu Muhd Fadhil Mohd Zonis dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang mewakili pasukan Sime Darby.

Strategi Azizulhasni membuat pecutan dalam pusingan terakhir kali ini menjadi untuk dia mencatat masa 10.493 saat, sekali gus merangkul emas keduanya dalam kejohanan ini.

"Dalam perlumbaan hari ini, saya harap dapat membantu rakan-rakan seperti Shah dan Fadhil untuk mencuri mata bagi melayakkan diri ke Piala Dunia dan Kejohanan Dunia. Malangnya, mereka agak keletihan sejak beraksi dalam acara pecut berpasukan.

"Apabila saya melakukan henjutan, saya harap mereka berada di belakang saya tetapi malangnya berlaku sedikit himpitan," kata Azizulhasni

Kem Malaysia terus cemerlang menambah emas menerusi acara kejar-mengejar berpasukan.

Gandingan Zulhelmi Zainal, Arif Danial, Muhd Hakimi Nor dan Muhammad Shafiq Mohd cemerlang melakar catatan 4 minit 13.579s untuk menidakkan cabaran Thailand dalam aksi final.

"Pada awalnya, kami agak berdebar menantikan catatan masa kami, adakah lebih baik daripada sebelumnya.

"Sebelum ini kami hanya beraksi dalam pasukan remaja. Ini merupakan penampilan pertama kami mewakili negara dalam kategori elit," ujar Zulhelmi.