Ketua jurulatih berbasikal trek negara, John Beasley, penuh yakin Azizulhasni Awang akan menumbangkan pemenang pingat emas Sukan Asia, Jai Angsuthsawit dari Thailand, apabila mereka berentap dalam Kejohanan Berbasikal Trek Grand Prix Asia Tenggara di Velodrom Nilai esok.

Azizulhasni tidak berada pada prestasi terbaik, sebulan selepas tamat Sukan Asia Indonesia, dengan ramai yang terkejut apabila dia tewas kepada Angsuthsawit untuk meraih gangsa keirin temasya di Jakarta itu.

"The Pocketrocketman" itu kemudian lebih fokus kepada keluarga dan pelajaran, namun dijangka meraih emas keirin esok, sekali gus menumbangkan juara Sukan Asia.

"Dia masih lagi berada di tahap terbaik. Saya sendiri akan terkejut jika tewas dalam kejohanan kali ini," kata Beasley.

Azizulhasni akan turut beraksi dalam pecut individu, namun menarik diri daripada pecut berpasukan walaupun memecah rekod kebangsaan dalam Sukan Asia bersama Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Mohd Fadhil Zonis.

Sementara itu, persaingan ratu trek negara, Fatehah Mustapa dan Farina Shawati Mohd Adnan, dalam keirin dan pecut individu wanita turut menarik tumpuan hari pertama.

Fatehah bangkit daripada pengguguran Sukan Asia untuk meraih satu perak dan satu gangsa Grand Prix Asia di India, minggu lalu sebelum mengalami masalah kesihatan.

"Farina masih lagi mempertingkatkan mutu kayuhan. Fatehah pula baru pulang dari India dan berehat selama 10 hari ekoran jangkitan virus."

Dalam perkembangan lain, Majlis Sukan Negara (MSN) akan mengadakan perbincangan dengan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), bulan depan mengenai hasrat jurulatih Thailand, Josiah Ng, menyertai barisan kejurulatihan kebangsaan.

"Saya memang teruja apabila terdapat bekas atlet yang mahu berkhidmat bersama negara tetapi kami akan melakukan perbincangan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan," kata Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.