Azizulhasni ketuai aksi cemerlang Malaysia, raih emas peribadi kedua

Oleh Penulis Jemputan 11 Oktober 2018 3519
Azizulhasni ketuai aksi cemerlang Malaysia, raih emas peribadi kedua
Jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang, menepati ramalan apabila meraih pingat emas acara keirin dalam saingan Grand Prix Asia Tenggara di Nilai, hari ini.

Dalam aksi di Velodrom Nasional itu, "The Pocket Rocketman" menambah emas kedua peribadi dalam kejohanan dan lebih manis, dia mengatasi pemenang emas Sukan Asia 2018 dari Thailand, Jai Angsuthasawit, dalam aksi final.

Azizulhasni mencatat masa 10.493 saat untuk mengatasi cabaran pelumba di tempat kedua, Puguh Admadi dari Indonesia, serta wakil Taiwan, Hsiao Shih Hsin.

Kecemerlangan Azizulhasni diteruskan pasukan kejar-mengejar Malaysia apabila gandingan Zulhelmi Zainal, Muhammad Hakimi Nor, Ariff danial Noor Roseidi serta Muhammad Syafiq Mohamad mempamerkan kayuhan bertenaga untuk mengutip emas mengatasi wakil Thailand dengan catatan masa 4 minit 13.579s.

Sementara itu, wakil daripada Sime Darby Malaysia, Muhammad Fadhil Mohd Zionis, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Muhammad Khairil Nizam Rasol, tidak berdepan masalah untuk mengungguli acara pecut berpasukan selepas mengatasi cabaran wakil Indonesia dan Thailand.

Bagi kategori wanita, hasrat Anis Amira Rosidi dan Farina Shawati Mohd Adnan untuk turut mengutip emas bagi acara pecut lebur apabila dinafikan oleh pelumba Indonesia, Crismonita Dwi Putri dan Elga Kharisma.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen