Pelumba berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang, hampir menarik diri, dalam acara keirin Kejohanan Kebangsaan Australia ekoran jadual pertandingan yang terlalu panjang.

Bagaimanapun, The Pocket Rocketman kental bertahan untuk meraih pingat emas dan lebih menarik rakan sepelatih, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, turut menaiki podium -- kejayaan sulung mereka selepas berehat panjang ekoran COVID-19.

"Saya hadir dalam kejohanan ini dalam kecergasan terbaik. Kekuatan dan kuasa memang meningkat selepas kami menjalani latihan khusus ketika perintah pergerakan sebelum ini.

"Tetapi daripada segi kecergasan kami belum masuk buat yang spesifik, masih banyak lagi yang boleh dilakukan.

"Saya juga bangga dengan Shah sebab dalam acara pecut, dia lebih laju dan banyak peningkatan dalam acara ini. Dengan pengalaman yang ada, saya tetap dapat mengalahkannya.

"Saya amat bangga kami kerana meraih kedudukan 1-3 memandangkan ramai nama besar yang bertanding," kata atlet kelahiran Terengganu itu ketika dihubungi wartawan Astro Arena, Bazly Azmi, hari ini.

Kejayaan itu mengagumkan Naib Presiden Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh, yang menganggap kedua-dua pelumba itu sememangnya memasang impian tinggi menjelang Sukan Olimpik Tokyo tahun depan.


Pingat Emas? untuk #ThePocketRocketMan & pingat Gangsa ? untuk Shah Firdaus di Australia ??! ? Mereka beraksi tadi di...

Posted by Team Malaysia on Saturday, December 19, 2020


"Walaupun sembilan bulan tidak menyertai sebarang kejohanan, mereka mengekalkan disiplin tahap mental dan fizikal mereka dijaga dengan baik.

"Jurulatih, John Beasley, telah memain peranan yang baik untuk memastikan prestasi mereka di tahap terbaik.

"Selepas sembilan bulan, mereka membuktikan bahawa mereka di landasan tepat dan kami di Malaysia berharap kemenangan ini boleh dijadikan batu loncatan untuk kemenangan yang lebih banyak pada 2021," katanya.