Faktor rehat panjang menyaksikan pelumba trek negara, Azizulhasni Awang, bergelut untuk mengatasi Muhammad Shah Firdaus Sahrom dalam sesi latihan di Velodrom Cheras, tiga minggu menjelang siri Piala Dunia pertama di Glasgow, Scotland.

Ketua jurulatih berbasikal negara, John Beasley, memilih Azizul dan Firdaus bagi mengibar cabaran Malaysia di Glasgow dalam misi mengumpul mata bagi kelayakan ke Kejohanan Dunia.

Bagaimanapun, Firdaus nampak lebih menyerlah apabila beberapa kali mengatasi Azizul di Velodrom Cheras.

Walaupun masih cetek pengalaman, namun situasi itu jelas membuktikan Firdaus mampu untuk menggalas harapan utama untuk layak ke final keirin atau pecut individu di Glasgow.

"Saya bercadang untuk pergi ke dua lagi siri Piala Dunia, iaitu siri ketiga di Cali, Colombia dan siri keempat di Los Angeles. Tetapi jurulatih menasihatkan saya untuk memberikan tumpuan kepada siri pertama dan kedua sahaja.

"Kemudian, beberapa bulan sebelum Kejohanan Dunia, kami akan mula melakukan persiapan rapi untuk ke Kejohanan Dunia di Hong Kong," jelas Azizulhasni.

Dalam pada itu, Firdaus menyasarkan untuk memperbaiki rankingnya dan mengumpul mata sebanyak yang mungkin bagi melayakkan diri ke Kejohanan Dunia.

"Sasaran saya untuk Piala Dunia ialah memperbaiki ranking saya dan untuk acara keirin, saya akan mencuba untuk melayakkan diri ke final.

"Saya belum pernah beraksi dalam final, jadi saya akan mencuba untuk memperbaiki ranking saya agar layak ke Kejohanan Dunia," ujar Firdaus.

Azizul mempunyai tempoh hingga 30 Oktober ini untuk mempersiapkan dirinya sebelum berangkat ke Glasgow.

Dia memiliki reputasi besar selaku pemenang pingat gangsa keirin Sukan Olimpik Rio 2016 selain menghuni ranking kedua dunia.

Begitupun, Firdaus kini dilihat berada pada prestasi yang lebih baik selepas meraih dua pingat emas dalam Piala Asia Bangkok yang berakhir Ahad lalu.