Rakyat Malaysia, terutama atlet negara, perlu terus berusaha untuk menaikkan nama negara. Pada 23 Mei 2016, pendaki negara, Azim Afif Ishak, telah menakluk Gunung Everest dan mengibarkan Jalur Gemilang di puncak setinggi 8,848 meter itu.

Setibanya Azim di puncak tertinggi yang terletak di Tibet itu, seorang lagi rakyat Malaysia, Farul Aidid Muhammad Yusof, turut berjaya menawan puncak Everest.

Azim melakukan pendakian di bawah penganjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM), dengan objektif pendakian seperti penyelidikan, penulisan buku, pendakian dan khidmat sosial, sepanjang ekspedisi tersebut.

Bagi penggemar aktiviti mendaki gunung dan mempunyai keinginan untuk mendaki gunung yang terletak di banjaran Himalaya itu, Azim berkongsi beberapa persediaan penting yang diperlukan sebelum membuat pendakian. Ia merangkumi persediaan mental, fizikal dan spiritual.

"Untuk mendaki Gunung Everest, pendaki memerlukan kekuatan fizikal, mental dan juga spiritual. Dari segi persediaan fizikal, latihan seperti berlari, memanjat gunung dan mengikuti kursus-kursus terperinci perlu dilakukan.

"Bagi persediaan mental pula, saya menjalani latihan selama sembilan hari lapan malam, dengan memikul beban seberat 30kg dan berjalan sejauh beratus-ratus kilometer ke dalam hutan.

"Akhir sekali, persediaan spiritual juga perlu dilakukan. Persediaan ini akan lebih tertumpu kepada bagaimana untuk melakukan ibadah solat di dalam keadaan sejuk.

"Tidak ketinggalan, pemakanan juga memainkan peranan yang penting. Ada beberapa diet yang khusus perlu diikuti oleh pendaki sebelum membuat pendakian," jelas Azim kepada krew Nadi@1 ketika ditemubual.

Pendakian Gunung Everest nyata memberikan 1,001 pengalaman yang tidak akan dilupakan Azim, serta kumpulan pendakinya.

Azim berkongsi permandangan indah yang dapat dilihat oleh mata mereka sendiri, juga pengalaman yang tidak mungkin dilupakan olehnya apabila melihat mayat-mayat pendaki yang ditinggalkan di gunung tersebut.

"Untuk ke puncak Everest, kami melalui pelbagai laluan, rintangan dan juga budaya.

"Antara pengalaman indah yang tidak mungkin saya lupakan ialah saya dapat melihat sendiri betapa indahnya ciptaan tuhan.

"Selain itu, pendakian ini juga membuatkan saya berasa seram sejuk, bukan kerana keadaan sejuk di atas gunung tersebut, tetapi kerana saya terpaksa menyaksikan mayat-mayat pendaki yang berada di kawasan pergunungan, yang dijadikan sebagai petanda jalan di Gunung Everest," tambah pendaki kelahiran Kulim, Kedah itu.

Mohandas Nagappan (M. Nagappan) dan Magendran Moorthy (M. Magendran) merupakan warga Malaysia pertama yang berjaya menawan puncak Gunung Everest pada 1997.