Institut Sukan Negara (ISN) kini fokus dalam membantu kontinjen negara menghadapi dua tugasan penting tahun depan selepas mengharungi musim 2017 yang cukup mencabar.

Secara keseluruhan, 2017 menyaksikan ISN memberi lebih tumpuan terhadap persiapan kontinjen negara untuk menghadapi saingan Sukan SEA serta Para ASEAN Kuala Lumpur.

Hasil daripada bantuan ISN, Malaysia muncul juara temasya KL2017 di samping meraih kedudukan kedua dalam temasya Para ASEAN 2017.

Lantaran itu, Pengerusi ISN, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, mahu usaha itu diteruskan dengan tumpuan kini terarah kepada Sukan Komanwel Gold Coast serta Sukan Asia di Indonesia, tahun depan.

"2017 merupakan tahun yang berjaya bagi prestasi ISN itu sendiri. Fokus kami telah beralih kepada 2018 dan kita mempunyai dua temasya besar, Sukan Komanwel pada April dan Sukan Asia pada Ogos.

"Jadi, persiapan akan bermula pada Januari ini," ujar pengerusi ISN itu dalam majlis penghargaan buat semua kakitangannya yang terlibat dalam Sukan SEA serta Sukan Para ASEAN yang lalu.

Abdul Azim turut mengesahkan ISN akan menjalani proses penstrukturan semula di peringkat negari dengan membahagikan keutamaan mengikut zon.

Dalam masa sama, tiada sebarang penambahan kepakaran buat ISN untuk menghadapi dua temasya utama itu di sebalik pengurangan jumlah kakitangan yang tidak dilanjutkan kontrak.

"Apabila kami melihat prestasi kecemerlangan ISN, salah satu perkara yang kami lihat adalah serba boleh. Sebenarnya tenaga kerja kami melebihi dengan apa yang diperlukan," menurut Abdul Azim lagi.