Persatuan Boling Padang Negeri Terengganu (PLBNT) akan menghantar 14 atletnya menjalani latihan di Australia pada April depan sebagai sebahagian daripada persiapan menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) 2018.

Jurulatih boling padang negeri itu, Zulkifli Abdul Wahab, berkata latihan intensif fasa ketiga akan bermula Januari ini dengan tujuh atlet lelaki dan tujuh atlet wanita terbaik akan dipilih daripada senarai 30 atlet ketika ini.

Menurutnya, prestasi semasa akan dijadikan penentu untuk terpilih dalam senarai 14 atlet, dengan masing-masing menunjukkan pencapaian membanggakan sepanjang kejohanan tahun ini.

“Peluang masih terbuka sehingga bulan Disember untuk atlet-atlet memburu tempat ke skuad Sukma 2018.

“Kemudian kami akan ke Melbourne atau Gold Coast selepas tamat Sukan Komanwel kerana terdapat banyak kelab boling padang di Australia.

“Tempoh dua hingga tingga minggu telah diperuntukkan dan skuad Sukma Terengganu akan didedahkan dengan latihan serta kejohanan bertaraf antarabangsa di sana,” kata Zulkifli.

Sementara itu, PLBNT menyifatkan penerimaan sukan boling padang di Terengganu semakin baik dengan kehadiran atlet-atlet berpotensi untuk diketengahkan.

Setiausaha PLBNT, Ahmad Hisham Hassan, berkata negeri itu tidak ketandusan atlet boling padang, sebaliknya Terengganu kini memiliki barisan pemain yang mencukupi untuk jangka masa panjang.

“Selain skuad elit Sukma, PLBNT turut dibarisi atlet daripada pasukan pembangunan dan pelapis yang melibatkan pelajar seawal usia 12 tahun.

“Kerjasama ibu bapa juga semakin positif dengan ramai menghantar anak-anak mereka ke Sekolah Sukan Malaysia Terengganu dan ini situasi yang menggalakkan,” tambahnya.

Zulkifl dan Hisham ditemui pada hari terakhir Kejohanan Boling Padang Terbuka Terengganu di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus, kelmarin.

Kejohanan tahunan itu dimenangi pasangan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Mohamed Azman Hassan dan Prof. Dr. Abol Munafi Ambok Bolong.

Mereka muncul juara selepas menewaskan atlet Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Wan Nurul Syafiqah Ghazali dan Fatiha Asmida A. Manan, dengan kiraan mata 8-6 pada aksi final.