Jurulatih skuad wusyu negara, Lim Yew Fai, boleh menarik nafas lega setelah barisan atlet yang dibimbing unggul menghadiahkan lebih daripada tiga pingat emas yang disasarkan di pentas Sukan Universiti Asean (AUG) 2018.

Kem negara menutup tirai aksi di Stadium Tertutup Wunna Theikdi, Nay Pyi Taw dengan mengutip keseluruhan empat emas, tujuh perak dan tiga gangsa.

Ia melebih sasaran yang ditetapkan Yew Fai memandangkan tidak banyak atlet senior yang membarisi skuad negara untuk edisi kali ini tatkala penampilan cemerlang beberapa muka baru tidak boleh dilupakan.

Beberapa tonggak yang hadir seperti Phoon Eyin, Tan Cheong Min, Khaw Jun Lim serta Loh Ying Ting tidak mengecewakan apabila masing-masing menjadi penyumbang emas kepada kontinjen Malaysia.

"Ini adalah aksi terakhir tahun ini dan skuad wusyu agak penat bagi 2018 kerana banyak perancangan seperti ke China, Jepun dan menyertai banyak kejohanan. Kami mencapai sasaran dan saya sangat gembira.

"Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua orang," kata Yew Fai.

Dalam edisi kali ini juga, Yew Fai telah memberi pendedahan kepada beberapa muka baru, antaranya Chan Lu Yi, Pang Pui Yee dan Chang Yangshang.

Mereka tidak pulang dengan tangan kosong apabila masing-masing turut menyumbang perak dan gangsa buat kem Malaysia dalam penampilan pertama di pentas itu.

Ia juga satu petanda yang baik untuk skuad negara yang ternyata mempunyai barisan pelapis menjelang Sukan SEA Filipina tahun depan.

"Pengalaman adalah sesuatu yang penting berbanding keputusan. Pui Yee meraih perak dan gangsa, jadi saya rasa ia sesuatu yang baik untuk masa depan," tambah Yew Fai.