Atlet renang negara, Welson Sim, optimis sasaran lima pingat emas mampu dicapai dalam penampilan pertamanya dalam Sukan Universiti Asean (AUG) 2018 setelah mengungguli acara 200 meter gaya bebas dan 4x100m gaya bebas di Nay Pyi Daw. malam ini.

Welson sebelum ini sudah merangkul emas bagi acara 400m gaya bebas.

Turun sekali lagi ke Pusat Akuatik Wunna Theikdi sebagai pencabar utama, prestasi perenang dari Sarawak itu tidak mengecewakan apabila mudah memenangi 200m gaya bebas dengan catatan 1 minit 48.82 saat.

Welson sekali lagi cemerlang sewaktu bergandingan dengan tiga lagi rakan sepasukan, Chan Jie, Foong Wei Tze dan Keith Lim, untuk acara 4x100m gaya bebas.

Kuartet negara itu terus unggul untuk merangkul emas dengan catatan 3:26.96s dan hampir menyamai rekod kejohanan, 3:26.72s.

"Ia merupakan perlumbaan yang mudah buat kami.

"Saya sudah menjangkakan pingat emas itu.

"Kami hanya ketinggalan sedikit untuk menyamai rekod kejohanan," katanya.

Secara keseluruhan, Welson kini sudah mengumpul tiga emas dan masih mempunyai baki enam acara selepas ini.

Walaupun catatan masa untuk setiap acara adalah jauh daripada lakaran terbaik peribadi, dia yakin jika tahap prestasinya terus konsisten, dua lagi emas mampu diraih.

"Saya mempunyai banyak lagi baki perlumbaan yang akan dilalui.

"Saya sudah menyertai lima acara dan masih mempunyai enam lagi.

"Saya akan meraih sebanyak pingat yang mungkin," tambahnya.