AUG: Welson gembira walaupun terkilan 

Oleh Staff Writer 14 Disember 2018 190
AUG: Welson gembira walaupun terkilan 
Atlet renang negara, Welson Sim, disulami perasaan bercampur-baur tatkala berjaya memperbaharui satu lagi rekod kebangsaan, namun terlepas peluang menambah pingat emas kelima dalam Sukan Universiti ASEAN (AUG) Myanmar 2018.

Daripada enam disiplin dalam acara gaya bebas, tiga rekod kebangsaan sudah pun dipegang oleh Welson, iaitu acara 200, 400 dan 800 meter.

Kini, dia menambah satu lagi koleksi rekod kebangsaan dengan memperbaharui rekod 100m gaya bebas dengan catatan masa 50.03 saat dalam saingan AUG, malam tadi. 

"Saya sudah mengidamkan untuk memecah rekod ini sejak beberapa tahun lagi dan akhirnya dapat melakukannya dalam kejohanan terakhir tahun ini. 

"Kalau tidak, rekod ini pasti berlanjutan untuk tahun ke-10," ujar Welson.

Ironinya, pemegang rekod lama, Daniel Bego, turut berada di Naypyidaw untuk menyaksikan Welson memecahkan catatan 50.16 saat yang sudah bertahan selama sembilan tahun sejak Sukan SEA Laos 2009.

"Saya sememangnya sudah lama mengharapkan Welson dapat mengatasi rekod saya. Dia dan Keith Lim memiliki peluang cerah untuk memecahkannya dalam tempoh setahun setengah dan kini ia sudah tercapai.

"Saya sangat gembira," kata Daniel. 

Selepas itu, Welson hampir lagi mencapai sasarannya dalam temasya ini untuk meraih lima emas dalam acara 4x100m rampaian bersama-sama Chan Jie, Tern Jian Han dan Foong Wei Tze.

Meskipun mereka mencecah garisan penamat dengan mengatasi skuad Indonesia terlebih dahulu, namun kemenangan Malaysia dibatalkan setelah pegawai pertandingan mendapati Welson terjun ke dalam kolam terlebih awal sebelum rakan sepasukannya mencecah garisan.

"Pingat emas kami diragut berikutan kesilapan saya yang melakukan terjunan terlampau awal, iaitu 0.09 saat.

"Sebaik melakukan terjunan itu, saya sudah menjangkakan penyertaan saya akan dibatalkan," katanya lagi. 
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen