Kejutan berlaku dalam majlis pembukaan Sukan Universiti Asean (AUG) 2018 di Nay Pyi Taw, Myanmar, malam tadi apabila perenang negara, Welson Sim Wee Sheng, dilantik pada saat-saat akhir untuk menjadi pembawa bendera Malaysia bagi menggantikan ratu pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli.

Sebelum ini, amanah tersebut diberikan kepada Zaidatul.

Bagaimanapun, ia ditukar pada saat-saat akhir kepada perenang negara, Welson, ekoran skuad olahraga negara mengalami kelewatan penerbangan ke Myanmar.

Welson yang menerima berita itu 24 jam sebelum majlis pembukaan, menerima tugas itu dengan hati terbuka dan menyifatkan ia sebagai satu penghormatan buat dirinya dalam penampilan pertama di pentas itu.

"Saya baru sahaja menerima berita itu malam tadi (kelmarin).

"Ia agak mengejutkan memandangkan Zaidatul masih belum tiba di sini (Myanmar).

"Saya amat berbangga kerana ia merupakan penampilan pertama saya dalam kejohanan ini dan dipilih selaku pembawa bendera negara.

"Ia sememangnya satu penghormatan dan pencapaian yang baik buat saya," katanya.

AUG yang memasuki edisi ke-19 itu menghimpunkan seramai 1,467 atlet dari Asia Tenggara dengan 17 acara dipertandingkan.

Malaysia hadir dengan kekuatan 279 atlet dan 103 pegawai dengan meletakkan sasaran 35 pingat emas dan kedudukan kedua keseluruhan.

Sasaran itu akan memperbaiki kedudukan tempat ketiga yang dilakar ketika edisi di Singapura, dua tahun lalu.