Atlet renang negara, Welson Sim dan Chan Jie, mengetuai cabaran di Pusat Akuatik Wunna Theikdi, Nay Pyi Taw apabila unggul menyumbang dua pingat emas buat kontinjen Malaysia dalam Sukan Universiti Asean (AUG) 2018, hari ini.

Welson yang membuat penampilan sulung dalam temasya itu bermula cemerlang apabila meraih emas dalam acara kegemarannya, 400 meter gaya bebas.

Dia tidak menghadapi masalah untuk melakar masa 3:55.02 saat, sekali gus mengetepikan pesaing dari Indonesia, Aflah Fadlan Prawira, dan Kittiya Thanakrit dari Thailand.

"Sejujurnya, ia sangat sukar. Catatan masa yang saya raih jauh daripada peribadi terbaik. Perenang Indonesia yang berada di sebelah saya sentiasa memberikan cabaran sejak beberapa tahun lalu," kata Welson.

Lagu "Negaraku" kembali berkumandang di venue pertandingan susulan giliran Chan Jie yang mempamerkan aksi mantap untuk meraih emas acara 50m kuak kupu-kupu dengan catatan 28.43s.

Lebih manis, rakan sepasukan, Tern Jian Han, turut mengutip pingat apabila membawa pulang gangsa manakala perak menjadi milik peserta Indonesia, Gede Siman Sudartawa.

"Saya rasa sangat gembira apabila dapat mengekalkan prestasi. Melihat keadaan saya yang sedang dalam proses pemulihan, saya gembira dengan kejayaan ini," ujar Chan Jie.

Secara keseluruhan, skuad renang negara meraih dua emas, satu perak dan tiga gangsa di hari pertama saingan akuatik.