Wusyu terus menjadi penyumbang konsisten untuk kontinjen Malaysia di pentas Sukan Universiti Asean (AUG) 2018 apabila menambah dua lagi pingat emas, masing masing menerusi Loh Yi Ting dan Tan Cheong Min.

Sebanyak lima acara dipertandingkan di hari ketiga saingan yang berlangsung di Kompleks Sukan Wunna Theikdi, Nay Pyi Taw, Myanmar.

Wakil pertama negara yang turun ke gelanggang, Yi Ting, tidak berdepan masalah untuk mengekalkan rutin cemerlang dalam acara gunshu dengan meraih 9.61 mata, sekali gus menyamai pungutan matanya dalam acara daoshu yang berlangsung semalam dan membolehkannya menghadiahkan emas kedua kontinjen Malaysia dengan pungutan mata keseluruhan 19.22 mata.

"Apabila selesai beraksi dan menunggu kutipan mata, saya hanya melihat kepada keputusan. Saya rasa gemuruh, jadi saya cuba elakkan diri untuk melihat kepada kutipan mata itu," kata Yi Ting.

Malaysia terus cemerlang menambah emas, kali ini giliran Cheong Min yang beraksi dalam acara nangun apabila memungut 9.48 mata manakala dalam acara nandao sebelum itu, dia mendapat 9.57 mata yang membawa jumlah keseluruhan 19.07 mata untuk merangkul emas.

"Saya tidak jangkakan dapat memenangi saingan ini kerana apabila masuk ke gelanggang, saya hanya melakukan yang terbaik. Saya berasa bangga," ujar Cheong Min.

Malaysia berpeluang untuk menambah emas bagi acara taijian menerusi Chan Lu Yi, namun dia sekadar meraih perak dengan catatan 9.58 mata, dibezakan 0.01 mata dengan pemenang pingat emas, Vera Tan dari Singapura, sambil gangsa menjadi milik rakan sepasukan Lu Yi, Sydney Chin, yang mencatat 9.57 mata.