Skuad renang negara boleh mendabik dada apabila bukan sahaja mencapai sasaran lima emas yang ditetapkan dalam Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2018, malah turut menjadi penyumbang terbesar dengan menuai keseluruhan lapan emas, tujuh perak dan 11 gangsa.

Daripada lima acara kegemarannya dalam disiplin gaya bebas individu, Welson Sim mengungguli tiga daripadanya menerusi acara 400 meter, 200m dan 100m serta dua lagi emas daripada kuartet 4x100m dan 4x200m bersama Chan Jie, Foong Wei Tze dan Tern Jian Han.

Lebih membanggakan, Welson berjaya memperbaharui bukan sahaja rekod kejohanan acara 100m gaya bebas, namun turut menambah satu koleksi rekod kebangsaan dalam kariernya apabila melakar masa 50.03 saat, yang sebelum ini dipegang Dainel Bego sejak 2009.

Untuk penampilan pertamanya dalam AUG, dia bukan sahaja mencapai sasaran peribadi untuk merangkul lima emas, malah turut berjaya untuk meraih pingat bagi acara bukan kegemarannya seperti gangsa dalam acara 200m kuak kupu-kupu dan perak acara 50m kuak dada.

"Ini merupakan kali pertama saya meraih lima pingat emas dalam kejohanan antarabangsa," kata Welson.

Pencapaian skuad negara kali ini sekali gus mengatasi ketika edisi 2016 di Singapura apabila Malaysia sekadar meraih lima emas, enam perak dan sembilan gangsa.

"Kami sangat gembira dengan pencapaian perenang negara. Mereka bermotivasi tinggi untuk mencapai sasaran yang telah ditetapkan," kata pengurus pasukan renang negara, Tan Seng Seng.