Acara olahraga bagi saingan Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2018 membuka tirai hari ini dengan acara tumpuan menyaksikan Luqman Hakim Ramlan meraih pingat gangsa meskipun dihimpit kecederaan, pagi tadi.

Kecemerlangan dalam percubaan pertama melayakkan atlet lompat jauh lelaki itu untuk meraih kedudukan podium dengan catatan 7.52 meter.

Dia bersaing hebat dengan atlet Vietnam, Bui Van Dong, yang membuat penampilan dalam Sukan SEA 2017.

Percubaan keduanya dibatalkan ekoran kesilapan teknikal sebelum insiden dalam lompatan ketiga menyaksikannya sekadar mencatat 5.95m berikutan ditimpa kecederaan hamstring yang meranapkan hasratnya untuk menyambung lompatan.

Bagaimanapun, dia masih boleh berbangga kerana berhasil membawa pulang pingat perak berikutan lima lagi pencabarnya gagal mengatasi catatan lompatan pertamanya.

Malaysia turut menambah pingat gangsa melalui G. Sinaveswaran dalam acara 10,000m jarak jauh wanita dengan catatan 33 minit 31.02 saat manakala atlet lontar peluru wanita, Bibi Nuraishah Ishak menyumbang perak dengan lontaran 12.48m.