Skuad memanah negara cemerlang di Lapang Sasar Wunna Theikdi, Nay Pyi Taw dengan meraih tiga daripada empat emas yang ditawarkan menerusi acara berpasukan dalam Sukan Universiti Asean (AUG) 2018 hari ini.

Dominasi Malaysia dalam acara memanah berpasukan bermula dengan kategori compound wanita.

Skuad negara membariskan Fatin Nurfatehah Mat Salleh, Iman Aisyah Norazam dan Nur Aina Yasmine Halim bagi menghadapi skuad memanah tuan rumah, Myanmar, dalam aksi final.

Ternyata mereka tidak menghadapi masalah untuk merangkul pingat emas dengan catatan 222 mata keseluruhan bagi mengatasi Myanmar yang sekadar mengumpulkan 207 mata.

"Ia bukan cabaran yang mudah memandangkan Myanmar juga menurunkan skuad kebangsaan mereka.

"Namun, kami memberikan aksi terbaik dan berjaya meraih kemenangan," kata Fatin.

Pemanah wanita meneruskan keunggulan dalam acara recurve.

Gandingan Nur Aliya Ghappar, Loke Shun Hui dan Shaerra Ezzaty Saffuan, mudah mengatasi Singapura 4-0 untuk meraih emas kedua negara.

Skuad recurve lelaki juga tidak mengecewakan apabila Muhammad Ikram Joni, Shaifuddin Kamro dan Alif Adha Hassan berjaya menumbangkan barisan pemanah Myanmar 5-1.

"Kami berpuas hati kerana menyumbangkan emas ketiga negara.

"Ia membakar semangat kami untuk lebih meningkatkan prestasi selepas ini," kata Alif.