Skuad chinlone negara membuktikan mereka masih relevan setelah menyumbang satu pingat perak dalam Sukan Universiti Asean (AUG) 2018 biarpun berdepan kemungkinan tidak akan bertanding dalam Sukan SEA Filipina 2019.

Pasukan yang dibentuk pada saat-saat akhir untuk menghadapi AUG di Nay Pyi Taw, Myanmar itu masih boleh berbangga dengan membawa pulang satu perak daripada empat acara dipertandingkan.

Ia menerusi acara "non repetition primary" setelah skuad negara tumpas kepada Thailand dalam aksi final dengan keputusan 305 berbalas 209.

Daripada enam pemain yang tersenarai ke saingan AUG kali ini, hanya Nur Hidayat Ar Rasyid Ahmad Daud merupakan tonggak yang membarisi Malaysia ketika Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

"Pertandingan patut diperbanyakkan lagi dan mencari bakat baru. Chinlone perlu sentiasa dengan bola selama yang boleh, mungkin setahun atau lebih.

"Kami bertanya wakil Myanmar, mereka telah membiasakan diri selama hampir 10 tahun dengan menimbang bola," kata Nur Hidayat.

Perak yang diraih di Myanmar diibaratkan sebagai pengubat duka memandangkan hampir setahun tiada kejohanan chinlone disertainya tatkala Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) juga sudah mengumumkan acara itu tidak akan dipertandingkan di Manila tahun depan.

Sewaktu Kuala Lumpur menjadi tuan rumah Sukan SEA tahun lalu, skuad chinlone negara berjaya menuai satu emas, satu perak dan dua gangsa.

"Kejayaan ini menimbulkan rasa semangat setelah lama menyepi kerana Sukan SEA akan datang, ia tidak akan dipertandingkan. Ini adalah peluang untuk mendapatkan pengalaman buat pemain baru," tambahnya.