Kontinjen negara perlu lebih kritikal dalam membuat perangkaan sasaran dalam sesuatu temasya dengan bukan sahaja menumpukan kepada pencapaian pingat emas, sebaliknya harus mengambil kira faktor lawan jika benar mahu menjadi jaguh di rantau Asia Tenggara.

Malaysia menutup tirai Sukan Universiti ASEAN (AUG) Ke-19 di tangga ketiga keseluruhan selepas memungut 37 pingat emas, 43 perak dan 49 gangsa.

Daripada satu aspek, Malaysia berada di landasan cemerlang untuk menepati sasaran jika dibandingkan dua tahun lalu di Singapura selepas sekadar meraih 27 emas, 29 perak dan 33 gangsa.

Bagaimanapun, hasrat untuk menamatkan saingan di tempat kedua tidak kesampaian selepas kontinjen Thailand dan Indonesia mempamerkan persembahan berkualiti untuk menamatkan saingan di tempat pertama dan kedua.

Apa yang perlu dilakukan adalah perincian daripada segi persiapan menghadapi temasya jika mahu bergelar juara keseluruhan bagi edisi akan datang.

Sumbangan pingat emas yang diraih dalam edisi kali ini hadir menerusi sukan wusyu, renang, memanah dan tidak dilupakan sukan-sukan yang tidak diletakkan sandaran seperti catur, mendayung dan petanque.

Sukan Universiti Dunia (Universiade) di Napoli, Itali menjadi destinasi seterusnya buat kontinjen Malaysia, dengan sasaran yang lebih realistik akan memastikan atlet-atlet negara tidak pulang hampa.