Skuad memanah negara dalam Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2018 menambah satu emas dan dua gangsa dalam aksi di Lapangan Memanah Wunna Theikdi, Nay Pyi Taw, Myanmar, hari ini.

Alang Ariff Aqil cemerlang meraih emas bagi acara compound individu lelaki apabila menewaskan pemanah dari Singapura, Tay Han Yueh Shawn. Kedua-dua pemanah berkongsi 141 mata dan Alang Ariff cemerlang dalam panahan terakhir untuk memungut mata maksimum 10 berbalas sembilan.

"Ini merupakan penampilan pertama saya dalam saingan AUG. Saya tidak hadir ke temasya ini dalam prestasi terbaik dan sasaran utama adalah mencari rentak panahan, namun dapat pulang dengan pingat emas," kata Alang.

Terdahulu, Amirul Amin Abd Rahim turut menyumbang gangsa untuk skuad memanah negara bagi acara compound individu lelaki apabila menang ke atas lawan dari Indonesia yang juga pemenang emas dalam Sukan SEA 2017, Prima Wisnu Wardhana, dengan keputusan 142-139.

"Saya tidak menjangkakan dapat mengatasi Prima kerana dia merupakan pemenang pingat emas Sukan SEA 2017. Saya memberikan tumpuan terbaik kepada prestasi sendiri sebelum memenangi gangsa," kata Amirul.

Sementara itu, dua wakil negara, Iman Aisyah Norazam dan Nur Aina Yasmine, berentap sesama sendiri bagi acara compound individu wanita untuk penentuan tempat ketiga dan keempat. Perlawanan dimenangi Iman Aisyah dengan kiraan mata 142-140.

"Kemenangan ini tidak disangka kerana saya lebih meletakkan keutamaan kepada saingan berpasukan," kata Iman.