Atlet heptatlon negara, Nurliyana Kamaruddin, sekali lagi hampir menggegar Stadium Wunna Theikdi, Nay Pyi Taw apabila percubaannya untuk memperbaharui rekod lompat tinggi kebangsaan dalam Sukan Universtiti ASEAN (AUG) 2018 hanya dipisahkan dengan empat sentimeter.

Untuk edisi kali ini, tiada acara heptatlon dipertandingkan, justeru Nurliyana mengambil keputusan untuk menyertai acara lompat tinggi sahaja.

Pencabarnya adalah rakan sepasukan, Yap Sean Yee, yang juga pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 1.83 meter.

Begitupun, Nurliyana lebih unggul apabila lompatannya konsisten dengan emas sudah berada dalam genggaman tatkala berjaya membuat catatan 1.80 meter.

Ia menaikkan lagi semangat atlet kelahiran dari Negeri Sembilan itu mencabar rekod kebangsaan milik Sean Yee, untuk melakukan 1.84 meter, namun gagal selepas tiga percubaan.

"Tiada rezeki untuk memperbaharui rekod kebangsaan dalam acara lompat tinggi sebagai penamat tahun ini," kata Nurliyana.

Bagaimanapun, Nurliyana tetap bersyukur ini merupakan emas pertamanya sejak menyertai AUG pada 2014 di Palembang.

Penampilan pertama Nurliyana di AUG, berkesudahan dengan pingat gangsa dalam acara lompat jauh manakala dua tahun lalu di Singapura, Nurliyana yang menyertai acara heptatlon menghabiskan saingan di tangga keempat.

"Berdasarkan pencapaian tahun ini, saya telah menampilkan peningkatan dan saya berpuas hati kerana meraih emas dalam AUG."