"Tuah budak baru" ternyata milik dua atlet karate-do negara, Soman Roy Arul Veeran dan Muhd Arif Afiffudin, yang tidak menyangka mampu membawa pulang dua emas dalam penampilan sulung mereka di pentas Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2018.

Arif dan Soman Roy boleh disifatkan sebagai muka baru dalam skuad karate-do negara, namun kedua-dua anak muda itu mempamer watak juara dalam meraih pengalaman pertama mereka dalam AUG.

Unggul dalam acara kumite individu, dengan masing-masing merangkul kategori atas 67 kilogram dan 75kg, mereka berdua turut memainkan peranan penting dalam acara berpasukan apabila menyumbang mata sebelum Prem Selvam Kumar memastikan Malaysia meraih emas, yang juga emas ke-35 kontinjen negara untuk mencapai sasaran ditetapkan.

Arif khususnya berasakan ini merupakan pencapaian terbaiknya tahun ini dengan berkongsi keterujaan meraih kejayaan dalam temasya sukan di rantau Asia Tenggara.

"Saya sangat berbangga kerana meraih dua emas dalam AUG. Kami telah menjalani latihan yang intensif sebelum menghadapi saingan ini," kata Arif.

Prestasi dipamerkan Arif dan Soman Roy turut mendapat perhatian ketua jurulatih, S. Sukumaran, yang menyifatkan kedua-duanya bakal menjadi prospek penting skuad karate-do negara untuk tahun mendatang.

"Prem, Soman dan Arif berlatih bersama skuad negara. Mereka telah menampilkan aksi terbaik bagi memastikan emas dibawa pulang," kata Sukumaran.

Skuad karate-do secara keseluruhan berjaya menggapai empat pingat seperti yang dicanangkan sebelum hadir ke Nay Pyi Taw meskipun terdapat tonggak utama gagal menepati sasaran seperti Syakilla Salni Jefry yang mengalami kecederaan dalam saingan individu manakala berpasukan wanita pula sekadar berpuas hati dengan pingat gangsa.