Sama ada Malaysia bakal menjadi tuan rumah Sukan Universiti ASEAN (AUG) edisi ke-20 pada 2020 nanti masih belum dimuktamadkan kerana masih perlu menanti kata putus daripada Filipina yang sepatutnya menjadi tuan rumah mengikut sistem penggiliran.

Perkara itu dijelaskan oleh Pengerusi Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM), Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan, yang juga pengerusi Majlis Sukan Universiti ASEAN yang mengesahkan tiada sebarang ketetapan bahawa Malaysia akan menjadi tuan rumah pada 2020 seperti dilaporkan.

Kebiasaanya pula ia akan diberikan kepada negara yang bakal menganjurkan Sukan SEA seperti Palembang pada 2012 dan seterusnya Singapura 2016 manakala Malaysia memberi peluang kepada Myanmar bagi edisi kali ini kerana negara tersebut tidak pernah menganjurkan temasya AUG.

Bagaimanapun, Malaysia tetap dalam keadaan bersedia jika Filipina masih belum bersedia untuk memikul amanah tersebut yang hanya akan diketahui pada bulan Mac 2019.

Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah AUG adalah pada 2008.

"Semangat dalam kalangan negara ASEAN sangat kuat. Kami akan membincangkan perkara ini bersama rakan negara yang lain untuk memilih tuan rumah bagi AUG edisi akan datang," kata Dr Hasaan.

Mengulas mengenai pencapaian kontinjen Malaysia dalam AUG kali ini, pihaknya mengakui meskipun barisan atlet negara berjaya mencapai 37 emas, lebih dua pingat yang disasarkan, ia tidak bermakna mereka dalam zon selesa kerana misi untuk mendapat tempat kedua terbaik secara keseluruhan gagal.

Bagaimanapun, perincian prestasi atlet negara akan dilakukan bagi mengenal pasti kelemahan untuk membuat jangkaan pingat yang lebih tepat dalam temasya akan datang.

Kalendar yang menanti selepas ini adalah Sukan Universiti Dunia (Universiade) yang akan berlangsung di Napoli, Itali 2019 dan Malaysia bakal menyertai lapan daripada 17 sukan dipertandingkan

"Kami meletakkan sasaran untuk menamatkan saingan kali ini di tempat kedua tetapi terdapat sukan yang dipertandingkan menawarkan banyak pingat dan Indonesia menggunakan peluang itu untuk memintas Malaysia," katanya lagi.