AUG: Li Ting ketuai kejayaan emas skuad catur

Oleh Staff Writer 19 Disember 2018 573
AUG: Li Ting ketuai kejayaan emas skuad catur
Skuad catur negara cemerlang menambah dua lagi pingat emas dan satu perak untuk kontinjen Malaysia dalam Sukan Universiti Asean (AUG) 2019 di Nay Pyi Taw, Myanmar.

Pasukan kebangsaan tampil cemerlang pada hari terakhir apabila meraih dua emas menerusi acara berpasukan wanita dan individu wanita.

Skuad berpasukan wanita yang diwakili Tan Li Ting, Nur Nabila Azman, Nur Najiha Azman, Puteri Rifqah Fahada dan Najihah Mohd Saufi cemerlang meraih mata tertinggi sepanjang kejohanan berlangsung, sekali gus dinobatkan juara untuk meraih emas.

Bagi kategori individu wanita, Li Ting yang tidak diberi harapan tinggi melakukan kejutan apabila menumpaskan lawan tuan rumah, Ei Chaint Chaint, untuk mengumpul mata tertinggi dan menduduki tempat pertama.

"Saya sangat gembira ketika ini kerana sasaran sebenar saya adalah gangsa. Saya hanya cuba bertenang dan menampilkan aksi terbaik.

"Saya gembira dapat menyumbang emas buat Malaysia," kata Li Ting.

Sementara itu, kem berpasukan lelaki turut cemerlang merangkul perak apabila menang ke atas Myanmar untuk meraih kedudukan kedua di belakang Indonesia.

Jurulatih negara, Mohd Ezmi Mahmood, ternyata berpuas hati kerana anak-anak buahnya melepasi sasaran satu emas sebelum kejohanan bermula

"Alhamdulillah saya sangat berpuas hati dengan prestasi dan disiplin pemain. Mereka faham tujuan datang ke sini. Saya selalu menasihatkan mereka agar tidak perlu tertekan," ujar Ezmi.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen