Ketiadaan pasukan Vietnam memberi ruang buat kuartet Malaysia menyinar dalam acara pecut 4x100m lelaki dan wanita apabila masing-masing membawa pulang perak dan gangsa dalam Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2018, sebentar tadi.

Hanya enam pasukan mengesahkan penyertaan dalam acara 4x100m, dengan Vietnam antara pasukan pencabar yang tidak mengambil bahagian.

Bagi kategori lelaki, Malaysia membariskan Nazirul Naim Azman, Jonathan Nyepa, Badrul Hisyam Abdul Manap dan raja pecut Sukma 2018, Muhammad Aqil Yasmin.

Meskipun kebanyakannya merupakan muka baru dalam temasya kali ini, kuartet negara ini berjaya memberikan tentangan sengit kepada Thailand dan Indonesia.

Keputusan akhir menyaksikan Malaysia menamatkan saingan di tempat kedua, dengan catatan 40.32 saat, sementara emas milik Thailand dengan catatan 39.63 saat sementara gangsa milik Indonesia.

"Kami telah berjaya meraih pingat perak. Thailand dan Indonesia tidak menghantar kuartet terbaik tetapi kami tetap berpuas hati dengan keputusan ini," kata Badrul.

Sementara dalam acara wanita, Malaysia menggabungkan beberapa pelari jarak jauh dalam acara pecut seperti M. Tanalaksiumy dan Fatin Faqihah Yusof bergandingan dengan Zaidatul Husniah Zulkifli serta Norris Foo.

Ternyata mereka masih belum mencipta keserasian apabila melakar masa 47.58s untuk mengakhiri saingan di tangga ketiga. Emas milik kuartet Indonesia dengan catatan 46.47s, sementara Thailand meraih perak.

"Saya sangat berpuas hati dengan pingat gangsa kerana Malaysia tidak menurunkan kuartet yang terbaik," kata Zaidatul.