AUG: Kontinjen Malaysia sasar 35 emas

Oleh Staff Writer 4 Disember 2018 134
AUG: Kontinjen Malaysia sasar 35 emas
Chef-de-mission (CDM) negara ke Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2018, Prof Datuk Dr. Yusserie Zainuddin, yakin Malaysia berkemampuan untuk mengutip lebih daripada 35 pingat emas dalam temasya itu bersandarkan kepada lambakan atlet elit yang membarisi skuad negara kali ini.

Kontinjen Malaysia akan berlepas ke Nay Pyi Daw, Myanmar, kali ini dengan misi memperbaiki kedudukan tempat ketiga dalam edisi ke-18 di Singapura, dua tahun lalu. 

Di atas kertas, Malaysia meletakkan sasaran 35 pingat emas, namun dengan penyenaraian sejumlah 279 atlet negara yang meliputi 16 jenis sukan, Dr. Yuserrie menaruh keyakinan bahawa Malaysia mampu melepasi sasaran itu dan tidak mustahil menjadi juara keseluruhan.

Apatah lagi, keputusan yang bakal dilakar di Myanmar akan menjadi penanda aras untuk negara yang akan menjadi tuan rumah edisi seterusnya pada 2020.

Di Singapura, Malaysia sekadar membawa pulang sebanyak 27 emas, 29 perak dan 34 gangsa. 

"Pada awalnya, kami menyasarkan 40 emas.

"Tetapi oleh kerana ada sukan yang telah digugurkan manakala sukan bersifat tempur pula agak sukar untuk kami menentukan pingatnya, tetapi dengan adanya latihan dan jurulatih yang hebat, kami mampu meraih 35 emas," katanya. 

Ratu pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli, pula diberikan mandat sebagai pembawa bendera kontinjen negara dalam temasya itu nanti.

Ia merupakan satu penghormatan buat Zaidatul yang mula membuat kemunculan sulung dalam temasya itu pada 2014 di Palembang, Indonesia.

"Saya pun tidak menyangka akan terpilih untuk membawa Jalur Gemilang dalam AUG. 

"Saya amat berbangga diberi tanggungjawab ini," ujar Zaidatul.

 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen