Hasrat Malaysia untuk menambah kutipan pingat emas menerusi atlet lompat jauh negara, Luqman Hakim Roslan, dalam Sukan Universiti Asean (AUG) 2018 di Nay Pyi Taw, Myanmar, tidak kesampaian apabila atlet itu mengalami kecederaan paha ketika melakukan lompatan ketiga, pagi tadi.

Luqman menjadi sandaran utama mencabar pingat emas acara lompat jauh.

Dia berjaya memberikan tentangan sengit kepada pemenang pingat emas Sukan Sea Kuala Lumpur 2017, Bui Van Dong dari Vietnam.

Luqman mencatat 7.52 meter dalam lompatan pertama .

Van Dong pula megah dengan melakar 7.80m.

Situasi bertukar panik setelah Luqman yang dalam usaha melakukan lompatan ketiga mengalami kecederaan dan sekadar mencatatkan 5.95m.

Dia kemudian tidak dapat meneruskan pertandingan dan terpaksa diusung pasukan perubatan bagi mendapatkan rawatan.

"Sebelum ini, dia tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Perkara itu berlaku ketika dia cuba melakukan lompatan ketiga dan tidak dapat meneruskan aksi selepas itu," kata jurulatih negara, Dek Izaiendy Junaidi.

Diagnosis awal mendapati Luqman terpaksa berehat selama tiga bulan susulan kecederaan itu.

Bagaimanapun, dia masih boleh berbangga membawa pulang pingat perak apabila enam lagi pesaing gagal mengatasi lompatan pertamanya.

"Dia mungkin direhatkan sehingga tahun depan bagi menghadapi Sukan SEA Filipina 2019.

"Setakat ini, dia telah melakukan yang terbaik dan saya berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkannya," tambahnya.