Skuad karate negara membawa khabar gembira dari Nay Pyi Taw, Myanmar, apabila menyumbang satu lagi pingat emas menerusi acara kumite berpasukan lelaki selepas menundukkan Thailand 3-0 dalam aksi final, hari ini.

Ia sekali gus membantu kontinjen negara mencapai sasaran 35 pingat emas dalam Sukan Universiti Asean (AUG) 2018.

Acara kumite berpasukan lelaki menjadi tumpuan berbaki sehari sebelum temasya AUG menutup tirai.

Ia bukan sahaja bagi mencapai sasaran empat pingat emas skuad karate, malah turut menjadi aksi penting bagi keseluruhan kontinjen negara mencapai sasaran emas yang ditetapkan.

Malaysia menentang Thailand dalam aksi final dengan menurunkan Soman Roy Arul Veeran sebagai petarung pertama.

Ternyata Soman tidak berasa gugup dan mudah mengatasi Ngamphuengphit Supa 3-1.

Muhammad Arif Affifudin pula diturunkan sebagai wakil kedua negara bagi menentang Saiyasombat Pooris.

Arif mengekalkan ketenangan dalam mengawal pergerakan lawan sebelum menghasilkan kombinasi tumbukan dan tendangan yang menghasilkan mata-mata penting untuk menewaskan Saiyasombat 4-3.

Kejayaan Malaysia akhirnya dimuktamadkan dengan kemenangan Prem Kumar Selvam ke atas Soda Worakan.

Prem menang 3-2 bagi memastikan Malaysia meraih pingat emas menerusi kemenangan 3-0.

Sebagai rekod, skuad karate terlebih dahulu meraih tiga emas dalam acara kumite individu, semalam.

"Apa yang berada dalam fikiran saya sebelum turun beraksi adalah hanya untuk meraih kemenangan.

"Jika saya tewas, ia berkemungkinan mengakibatkan keseluruhan pasukan berputih mata.

"Saya hanya menuruti perancangan jurulatih dan ia membuahkan hasil," kata Arif.

Bagi Prem pula, kegugupan dan tekanan yang dialami menyekat hajatnya untuk mengulangi aksi cemerlang ketika meraih pingat emas individu, semalam.

"Saya berasa amat gugup dan tertekan.

"Ia membuatkan saya kerap bertahan berbanding menyerang.

"Apa yang penting adalah saya memenangi perlawanan itu walaupun tidak beraksi baik," kata Prem.