Atlet wushu negara, Khaw Jun Lim, berpendapat pingat emas pertama yang diraihnya untuk kontinjen Malaysia dalam Sukan Universiti Asean (AUG) 2018 hari ini bukan kejayaan mudah biarpun hanya terpaksa bersaing dengan satu pencabar.

Daripada lima acara wushu yang dipertandingkan hari ini, Malaysia meletakkan harapan tinggi untuk sekurang-kurangnya meraih satu emas menerusi acara gabungan, daoshu dan gunshu.

Ramalan itu berdasarkan jumlah penyertaan yang melibatkan dua peserta sahaja, iaitu Jun Lim dan pesaing dari Thailand, Sujinda Yangroramin.

Jun Lim menepati ramalan dengan meraih 9.62 dan 9.61 mata untuk setiap acara, sekali gus melayakkannya meraih emas pertama negara dalam temasya itu.

Namun, ia bukan sesuatu yang mudah, apatah lagi beban berat diletakkan di bahunya setelah seorang demi seorang rakan sepasukannya kecundang sebelum itu hingga gagal menghadiahkan emas.

"Saya tidak begitu tertekan kerana lebih fokus kepada persembahan saya berbanding memikirkan pingat," kata Jun Lim.

Sementara itu, Chef-de-Mission (CDM) Malaysia, Prof. Datuk Dr. Yusserie Zainuddin, tidak panik walaupun Malaysia banyak terlepas peluang meraih pingat di gelanggang wushu.

Malaysia menetapkan sasaran untuk merangkul 35 emas dan mendapatkan kedudukan kedua terbaik keseluruhan bagi AUG edisi kali ini.

"Kami cuba meyakinkan atlet lain. Acara ini memang subjektif dan terpaksa akur dengan keputusan ini. Kami juga akan lihat kekuatan kami dalam sukan yang lain bagi menyumbangkan pingat," ujarnya.