Pelari elit negara, Jonathan Nyepa dan Zaidatul Husniah Zulkifli, diletakkan sandaran untuk mempertahankan pingat emas acara reben biru 100 meter dalam Sukan Universiti Asean (AUG) yang akan berlangsung di Nay Pyi Taw, Myanmar, bermula 8 Disember ini.

Dua tahun lalu di Singapura, Malaysia memperoleh kejayaan berganda dalam acara reben biru itu setelah Jonathan dan Zaidatul cemerlang merangkul emas walaupun catatan masa yang dilakar jauh daripada rekod terbaik peribadi.

Jonathan yang melakar masa 10.62 saat ketika itu berharap di Nay Pyi Taw nanti dia bukan sahaja dapat mengekalkan emas tetapi sekurang-kurangnya mampu menyamai catatan terbaik tahun ini, 10.36s, ketika Kejohanan Weinhem Classic, Jerman Julai lalu.

"Saya tidak pernah mengambil mudah mana-mana kejohanan. Walaupun ia saingan universiti, saya tetap mewakili Malaysia.

"Saya akan cuba yang terbaik," ujar Jonathan.

Bagi Zaidatul, pengumuman tarikh temasya itu pada saat-saat akhir oleh penganjur merencatkan persiapan dan latihan kerana menyangka sudah tiada kejohanan utama lagi selepas berakhirnya Sukan Asia Indonesia, Ogos lalu.

"Saya akan cuba yang terbaik walaupun sekarang saya berada dalam fasa pemulihan. Jadi, kalau boleh saya mahukan aksi terbaik kerana saya bukan sekadar mewakili universiti tetapi Malaysia," tambah Zaidatul.