Atlet lontar peluru negara, Irfan Shamsuddin, unggul untuk menghadiahkan Malaysia pingat emas ke-11 negara dalam Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2018 di Myanmar, hari ini.

Daripada enam percubaan yang dilakukan, Irfan mencatat lontaran terbaik sejauh 54.77 meter yang juga merupakan emas ketiganya dalam tiga penampilan AUG sejak 2014 di Palembang.

Pingat perak turut menjadi milik kontinjen Malaysia menerusi Abdul Rahman Lee yang melakukan lontaran sejauh 49.88m sementara atlet Thailand, Thonchai Silamool, meraih gangsa.

Sementara itu, dalam acara lompat kijang, atlet negara, R. Kirthana, melakukan lompatan 12.60 meter yang hanya dibezakan 0.02 meter dengan pemenang emas dari Thailand untuk berpuas hati dengan pingat perak.

Dua lagi atlet negara dalam acara pecut 200m, Jonathan Nyepa (kategori lelaki) dan Zaidatul Husniah Zulkfli (kategori wanita), layak ke peringkat akhir, petang ini.