Skuad wusyu negara menutup kempen Sukan Universiti Asean (AUG) 2018 di Nay Pyi Taw, Myanmar, dengan meraih empat pingat emas, tujuh perak dan empat gangsa dengan emas terakhir disumbangkan oleh sandaran utama, Phoon Eyin, pagi tadi

Lima acara dipertandingkan sebelum sukan wusyu menutup tirai, hari ini.

Antara peserta yang diletakkan sebagai sandaran emas adalah Phoon Eyin dalam acara qianshu-jiangshu.

Secara keseluruhan, Eyin meraih 19.22 mata, mengatasi peserta tuan rumah, Sandi Oo, dengan 19.21 mata di kedudukan pingat perak.

Gangsa milik rakan sepasukan Eyin, Pang Pui Yee, yang meraih catatan 19.07 mata.

"Setiap peserta mempunyai kelebihan tersendiri.

"Ia mengenai siapa yang lebih baik dan kurang melakukan kesilapan," katanya.

Eyin berpeluang menambah emas kedua peribadi bagi menyamai pencapaiannya di Palembang dalam edisi 2010, namun gandingannya bersama Loh Yi Ting dan Tan Cheong Min dalam acara duilian sekadar meraih perak.

"Kami telah melakukan yang terbaik.

"Kejayaan itu cukup baik untuk kami memandangkan tidak selalu dapat berlatih bersama ekoran komitmen harian masing-masing.

"Apapun, saya berbangga dengan pencapaian kami hari ini," tambahnya.