Atlet lontar peluru negara, Bibi Nuraishah Ishak, akur sekadar mendapat pingat perak buat kali ketiga berturut-turut dalam Sukan Universiti Asean (AUG) selepas tewas kepada pencabar dari Thailand dalam aksi di Kompleks Sukan Wunna Theikdi, Nay Pyi Taw, Myanmar, hari ini.

Malaysia membariskan dua wakil dalam acara lontar peluru, iaitu Bibi dan Choo Kang Ni.

Bagaimanapun, tumpuan lebih terarah kepada Bibi memandangkan dia meraih pingat perak dalam dua edisi sebelum ini di Palembang (2014) dan Singapura (2016).

Bibi berhasrat untuk membutirkan kilauan emas dalam penampilan ketiganya, namun Areerat Intandis dari Thailand terus membayangi atlet dari Kelantan itu.

Selepas enam balingan, catatan terbaik Bibi adalah 12.48 meter.

Areerat terus mendominasi saingan dengan catatan terbaik 14.26m untuk meraih pingat emas ketiganya sejak edisi 2014.

Bibi terpaksa berpuas hati dengan pingat perak manakala Kang Ni menamatkan saingan di tangga keempat dengan catatan terbaik 11.18m.

"Saya pernah bertemu dengan Areerat sebelum ini dan saya tahu dia sukar untuk ditumpaskan.

"Sedikit yang mengecewakan adalah saya gagal memperbaiki catatan peribadi terbaik.

"Mungkin saya memerlukan persediaan yang lebih baik selepas ini," katanya.