Bagaikan ulangan saingan Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018, acara merejam lembing wanita dalam Sukan Universiti ASEAN (AUG) hari ini menyaksikan wakil negara, Siti Aisyah Nora Rahis dan Fatin Nur Shahiera masing-masing membawa pulang pingat perak dan gangsa.

Aisyah, yang membuat penampilan pertama, tidak menyembunyikan perasaan gugupnya beraksi di pentas AUG.

Percubaan pertamanya adalah yang paling rendah dalam kalangan lima peserta apabila sekadar membuat rejaman sejauh 35.06 meter.

Namun, pemenang pingat perak Sukma itu bangkit untuk kembali meletakkan dirinya dalam prospek pingat dan daripada keseluruhan enam balingan, Aisyah melakar catatan terbaik 42.30m untuk dia membawa pulang pingat pertamanya dalam temasya itu.

Rakan sepasukan, Fatin Nur Shahiera, juga tidak mengecewakan apabila turut sama membuat rejaman terbaik 39.95m untuk merangkul gangsa, sekali gus memperbaiki prestasi ketika di Singapura dua tahun lalu, apabila menduduki tangga kelima keseluruhan.

Kejayaan Aisyah dan Fatin menggenggam pingat perak dan gangsa juga mengulangi aksi mereka dalam Sukma, September lalu, apabila masing-masing ketika itu mewakili kontinjen Johor dan Kuala Lumpur.

Sementara itu, emas bagi acara itu milik atlet Thailand, Jariya Wichaidit, dengan catatan 48.11m.

"Perasaan gugup itu memang ada. Pada permulaan saingan, saya berada di kedudukan tercorot tetapi berjaya mempamerkan catatan yang baik untuk meraih pingat," kata Aisyah.

"Saya telah cuba yang terbaik dan meletakkan sasaran untuk meraih pingat. Ini merupakan pencapaian terbaik selepas dua tahun untuk saya," kata Fatin pula.