Roger Federer menyifatkan kemenangan ke atas Novak Djokovic dalam saingan Pusingan Akhir ATP sebagai sesuatu yang "ajaib" selepas dikecewakan dalam pertembungan terakhir dalam final Wimbledon.

Ikon Switzerland, Federer, meraih kemenangan 6-4, 6-3 di Arena O2, London semalam untuk menyertai Dominic Thiem melangkah ke separuh akhir.

Ia merupakan kemenangan pertama juara grand slam 19 kali itu ke atas Djokovic -- kekalahan yang menyaksikan Rafael Nadal bakal mengakhiri 2019 sebagai pemain nombor satu dunia -- sejak 2015, dengan pemain berusia 32 tahun itu merekodkan kemenangan sejak lima pertembungan terakhir.

Paling terbaru menyaksikan Djokovic menyelamatkan mata kejuaraan sebelum menjulang gelaran Wimbledon selepas perlawanan terikat 12-12 dalam set kelima.

Ditanya apa perbezaan yang dilakukan kali ini, Federer membalas: "Saya memenangi mata perlawanan! Ia sangat sengit ketika di Wimbledon. Saya sangat berbangga kerana dapat beraksi dalam perlawanan tersebut, terlalu banyak naik dan turun.

"Saya berasakan saya telah mengharungi kejohanan dengan cemerlang… dan hanya satu mata atau pukulan yang membezakan sama ada anda mampu bergelar juara.

"Anda memandang ke hadapan, cuba sekali lagi dan berharap tuah memihak anda. Saya kekal tenang dan bermain dengan baik sehingga penghujung permainan dan saya sangat gembira dengan kemenangan ini.

"Suasana yang meriah, pesaing yang hebat. Ia merupakan sesuatu yang sangat istimewa. Saya menikmati perlawanan ini daripada permulaan lagi.

"Saya berusaha bermain dengan cemerlang kerana menyedari Djokovic akan melakukan perkara yang sama. Kemenangan ini adalah sesuatu yang ajaib. Anda telah memberikan sumber kekuatan dan menjadikan perlawanan ini sangat istimewa."

Federer bangkit daripada kekalahan dalam perlawanan pembukaan round-robin kepada Thiem dengan menewaskan Matteo Berrettini dalam straight set dan pemain berusia 38 tahun itu meningkatkan mutu permainan ketika mengatasi Djokovic.

"Anda sentiasa bermain dengan lebih baik apabila melangkah lebih jauh dalam saingan, ia merupakan antara faktor kami turut bermain baik dalam aksi final Wimbledon," kata Federer, yang mengalami kekalahan dalam separuh akhir di tangan Alexander Zverev dalam saingan Pusingan Akhir ATP tahun lalu.

"Saya sangat gembira kerana masih lagi bersaing dalam kejohanan ini, saya berharap untuk melangkah lebih jauh kali ini. Pertembungan dengan Zverev tahun lalu sangat menakjubkan tetapi dia berada di tahap terbaik."