Atlet seni bela diri kelahiran Amerika Syarikat (AS)-Malaysia, Aaron Ern-Wuei Phillips, tidak sabar-sabar untuk turun ke gelanggang UFC selepas kali terakhir melakukannya enam tahun lalu.

Phillips (12-3) dijadualkan menghadapi Jack Shore (12-0) dalam pertarungan awal UFC Fight Night 172: Kattar lwn Ige, kejohanan kedua daripada empat edisi UFC Fight Island di Abu Dhabi, Khamis ini.

Atlet berusia 30 tahun itu tersenarai setelah pencabar asal Shore, Anderson dos Santos, diuji positif COVID-19.

Kali terakhir dia memasuki gelanggang oktagon adalah pada Ogos 2014 tetapi tumbang kepada bekas juara bantamweight Legacy FC, Matt Hobar.

Dia kemudian meninggalkan bidang profesional MMA buat seketika sebelum kembali pada 2018 yang menyaksikannya melakar lima kemenangan.



Menjelang kepulangan ke UFC, Phillips percaya sekarang dia merupakan atlet yang lebih baik berbanding enam tahun lalu.

"Sudah tentu pengalaman saya dalam UFC merupakan satu kelebihan, ia membantu saya kekal tenang. Kali terakhir aksi saya sangat kaku dan serius sepanjang masa.

"Tetapi saya pernah bertarung dan saya tahu bahawa saya sepatutnya berada di sana lagi," katanya.

Phillips juga menyatakan kegembiraannya untuk menentang lawan berkaliber seperti Shore -- lawan dari Wales yang belum kalah dalam 24 pertarungan profesional dan amatur berturut-turut.

"Lawan saya tidak terkalahkan, dan saya rasa ini adalah perlawanan yang menarik. Saya rasa kami dapat bertanding dengan baik, tetapi saya fikir saya sedikit ketinggalan.

"Saya sedar dia masih belum pernah tewas dan sangat kuat tetapi saya menganggapnyabelum benar-benar diuji atau mengalami tekanan tinggi. Oleh itu, kami akan meletakkannya dalam situasi berkenaan dan lihat bagaimana dia mampu bertindak balas terhadap serangan.

"Kami telah menonton banyak rakamannya dan kami tahu apa yang dimahukannya. Saya adalah 'underdog' dalam pertarungan ini. Tidak syak lagi bahawa dia lawan yang bagus, tetapi saya mampu mengharungi pertarungan ini. Tiada apa yang yang harus saya risaukan dalam pertarungan ini," tambahnya.





Berikutan kepulangannya ke UFC, Phillips berharap langkah itu dapat membuka peluang buatnya menyertai acara-acara Asia pada masa depan.

"Sejak aksi di Singapura, saya begitu berharap dapat bertarung lagi di sana agar kesemua ahli keluarga saya dapat menyaksikan persembahan saya.

"Ia bukan diadakan di Malaysia, tetapi zon waktu yang sama akan membolehkan mereka mengikuti pertarungan saya. Saya bangga mewakili Malaysia.

"Ibu saya berasal dari Pulau Pinang dan bertemu ayah saya ketika menuntut di universiti dekat AS. Dia seorang guru sekolah, jadi setiap musim panas kami akan kembali ke Malaysia," katanya lagi.

Saksikan pertarungan Phillips lwn Shore dan UFC Fight Night 172: Kattar vs. Ige on Fox Sports (CH815 HD & CH835) dari jam 7 pagi pada 16 Julai (tertakluk kepada perubahan)