Atlet tinju perlu bukti keupayaan dalam dua kejohanan

Oleh Penulis Jemputan 1 November 2018 68
Atlet tinju perlu bukti keupayaan dalam dua kejohanan
Dua pertandingan berbeza akan disertai oleh peninju elit dan pelapis negara dalam proses penilaian persembahan mereka untuk terus kekal dalam program latihan tahun depan.

Ketika ini, 14 peninju berada dalam skuad kebangsaan yang dilatih oleh Azmi Md Yunus.

Dengan program sedia ada akan tamat pada hujung tahun ini, masih ada dua pertandingan yang bakal disertai mereka.

Empat peninju elit, antaranya Muhamad Fuad Redzuan dan Arfiqanie Ahmad Anshori, akan terbabit dalam Kejohanan Tinju Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kuching, Sarawak, hujung bulan ini.

Sembilan peninju pelapis pula akan diketengahkan dalam Kejohanan Pesta Pulau Pinang, bulan depan yang turut menampilkan beberapa peninju dari luar negara.

"Kejohanan ATM ini akan melibatkan empat peninju elit, antaranya Fuad dan Arfiqanie.

"Saya harap mereka dapat meraih kejuaraan itu nanti.

"Selain itu, Kkejohanan Pesta Pulau Pinang akan menjadi pentas buat pemilihan atlet-atlet pelapis," kata Azmi.

Dalam pada itu, Azmi melaungkan pujian terhadap komitmen yang ditampilkan oleh peninju-peninju pelapis sepanjang pembabitan mereka dalam program latihan ketika ini.

Jelasnya, ini peluang terbaik mereka merebut kesempatan supaya tersenarai dalam skuad negara bagi persiapan menghadapi Sukan SEA Filipina, tahun depan.

"Atlet pelapis sudah mempamerkan peningkatan memandangkan mereka sudah empat tahun dalam program latihan.

"Jika program pelapis ini dimansuhkan, maka tidak ada lagi pelapis berpotensi yang mampu dihasilkan," tambahnya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen