Perkembangan mengenai potensi sektor sukan untuk kembali beroperasi menyuntik keterujaan beberapa atlet negara apabila berpeluang kembali berlatih.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, semalam mengeluarkan kenyataan bahawa sektor sukan berpotensi 'dibenarkan' beroperasi semula, sekiranya kadar kes baharu penularan tempatan Covid-19 kekal mencatatkan dua atau satu angka.

Pertimbangan untuk memberikan lebih banyak kelonggaran itu dapat dibuat memandangkan penularan jangkitan dalam kalangan penduduk tempatan dapat dikawal setakat ini.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, menjelaskan kegembiraan bakal terpancar buat setiap atlet yang tidak sabar untuk kembali ke gelanggang latihan masing-masing.

Bagi atlet lompat kijang negara, Muhammad Hakimi Ismail, dan atlet wushu negara, Tan Cheong Min -- tidak berada di dalam program kluster latihan Road to Tokyo (RTT) -- sudah mula merancang aspek-aspek yang harus ditumpukan jika mampu kembali berlatih selepas 9 Jun ini.

"Saya berharap dapat kembali berlatih secepat mungkin tetapi keselamatan harus dijadikan keutamaan. Jika pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) berpandangan aktiviti dapat meningkatkan potensi penularan Covid-19, kami harus kembali mengikut tetapan yang telah dikeluarkan," kata atlet lompat kijang negara, Muhammad Hakimi Ismail.

"Sebagai atlet kebangsaan, jika latihan dapat dimulakan 9 Jun ini, kami amat memerlukan program latihan yang intensif bagi mendapatkan semula kemahiran asas," kata atlet wushu negara, Tan Cheong Min.