Hampir 100 atlet menerima tawaran untuk menyertai semula program latihan berpusat dianjurkan Majlis Sukan Negara (MSN) susulan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pengarah Bahagian Persediaan Atlet MSN, Jefry Ngadirin, memaklumkan wartawan Astro Arena, Bazly Azmi, bahawa hanya boling tenpin kekal dengan keputusan berlatih secara sendirian sementara boling padang, menembak, gimrama dan ragbi 7s setuju untuk kembali melaporkan diri di kem Bukit Jalil, bermula Khamis ini.

Perkembangan itu menggembirakan MSN berikutan atlet sanggup berkorban tatkala COVID-19 masih menular.

Ia juga membuktikan kesedaran atlet mengenai program latihan yang sudah memasuki fasa persediaan spesifik.

"Tahap kecergasan atlet boleh dipertingkatkan berbanding jika mereka menjalani latihan di rumah walaupun latihan mereka di sini tidak begitu berkeamatan tinggi.

"Atlet berpeluang meneruskan persiapan mereka sejak Julai lalu bagi mengelak penurunan prestasi.

"Ada juga atlet yang diberi pelepasan untuk menguruskan hal peribadi tetapi mereka akan melaporkan diri dalam beberapa hari lagi," katanya hari ini.

Seramai 490 atlet negara sudah berada di venue latihan MSN sejak dua minggu lalu.

Pengecualian diberikan kepada skuad boling tenpin ekoran ketiadaan venue latihan di Lembah Kelang.

"Mereka masih tidak mendapat kelulusan untuk ke pusat latihan (di sebuah pusat beli-belah) jadi mereka hanya berlatih di rumah.

"Kami berusaha untuk mendapatkan kelulusan buat mereka menjalani latihan di Sunway Megalanes," tambahnya.

Sementara itu, Institut Sukan Negara (ISN) lega apabila pegawai nutrisi yang diletakkan dalam kategori orang dalam siasatan (PUI) didapati negatif ujian calitan kedua.

Ini bermakna semua kontak rapat dengan pegawai terbabit termasuk barisan jurulatih skuad hoki negara boleh meneruskan tugas tanpa rasa bimbang jangkitan pandemik berkenaan.

Pegawai ISN terbabit bakal memulakan tugas dalam masa terdekat.

"Kami di ISN sentiasa peka dan memberi peringatan kepada kakitangan ISN bahawa SOP adalah sangat penting ketika berkhidmat dan ketika pergaulan di luar," kata CEO ISN, Ahmad Faedzal Md Ramli.