Majlis Sukan Negara (MSN) memberikan peringatan buat atlet senior agar tidak hanya menjadi jaguh Sukan SEA, malah perlu mempunyai impian yang lebih tinggi untuk bertanding di peringkat Asia dan Komanwel.

Menurut Pengarah Bahagian Atlet MSN, Jefri Ngadirin, keputusan tersebut penting buat negara bagi mencerahkan masa depan Malaysia di peringkat Sukan Olimpik.

"Sukan SEA adalah temasya paling rendah bagi beraksi di pentas antarabangsa dan barisan atlet senior perlu melihat ke saingan yang lebih tinggi," kata Jefri.

"Atlet-atlet berpengalaman yang telah beraksi dalam dua atau tiga edisi Sukan SEA, mereka seharusnya memandang ke peringkat lebih tinggi."

Selain itu, Jefri optimis keputusan menghantar atlet bertaraf Sukma ke Sukan SEA tidak akan menjadi bahan ketawa selepas pencapaian beberapa atlet muda dalam temasya dwitahunan edisi 2019 lalu meraih keputusan positif.

Tambahnya, sukan lain perlu menjadikan angkat berat sebagai contoh bagi merancang masa depan atlet di peringkat lebih jauh.

"Sebagai contoh sukan angkat berat, atlet-atlet yang telah memenangi pingat emas dalam Sukan Olimpik, mereka tidak lagi berpeluang untuk bersaing dalam Sukan SEA," katanya lagi.

"Kami harus melihat kepada peluang buat atlet-atlet muda untuk mendapatkan tempat dalam saingan bertaraf antarabangsa sekaligus memberikan pengalaman serta pendedahan sebagai persiapan untuk melangkah ke peringkat yang lebih berprestij."