Semua atlet Sabah dinasihatkan supaya mengekalkan tahap kecergasan masing-masing walaupun terpaksa melakukan latihan di kediaman masing-masing berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

Menteri Belia dan Sukan Sabah, Phoong Jin Zhe berkata, sekiranya ada atlet yang tidak mencapai tahan kecergasan sepatutnya, pihaknya mungkin akan menilai semula penyertaan atlet dan jurulatih terbabit.

"Nasihat saya kepada semua atlet Sabah, teruskan latihan di rumah, disiplinkan diri untuk teruskan latihan yang telah diberikan oleh jurulatih masing-masing dalam tempoh PKP ini," katanya ketika dihubungi, di Kota Kinabalu, hari ini.

Phoong berkata, semua atlet negeri itu masih meneruskan latihan di rumah dengan mengikuti senarai program latihan yang disediakan jurulatih masing-masing.

"Saya juga menyarankan semua jurulatih agar terus memantau atlet mereka menerusi panggilan video bagi," katanya.

Sementara itu, beliau berkata belum ada atlet Sabah yang disahkan menghidap Covid-19, namun pihaknya akan terus menjalankan pemantauan.

"Pasukan yang telah menjalankan latihan atau penyertaan kejohanan di luar negara sebelum ini juga telah dinasihatkan untuk 'self- quarantine' di rumah selama 14 hari," katanya.